Rezeki Allah Itu Luas
Rezeki Allah itu luas…
Rezeki bukan hanya dalam bentuk harta dan wang ringgit. Dianugerahkan dengan anak yang ramai juga merupakan rezeki daripada Allah. Ada sesetengah daripada kita tidak dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama mendirikan rumahtangga. Beribu-ribu wang dihabiskan, berpuluh pakar ditemui, pelbagai kaedah digunakan tetapi masih belum berhasil. Bersyukurlah dengan nikmat dan rezeki Allah ini kepada yang telah memiliki anak. Kepada yang tiada rezeki anak, mungkin diberikan mertua yang baik. Maka kita lebih bahagia daripada mendapat anak yang liar. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki wang ringgit dan harta benda, mungkin Allah berikan kita dengan rezeki kesihatan. Maka kita lebih gembira dengan kehidupan kita yang sentiasa sihat dan ceria. Jauh dari kerisauan untuk menjaga harta benda. Apa guna memiliki kekayaan melimpah ruah jika tubuh badan tidak sihat? Pasti tidak gembira kan?
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki kereta mewah, mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang memberikan masalah. Maka kita lebih bahagia dan gembira dari membayar kerosakan yang mahal.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki pasangan hidup yang cantik, mungkin diberikan rezeki dengan pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Maka kita lebih bahagia kerana mendapat teman yang menyejukkan hati dan kehidupan berkeluarga sentiasa terjaga.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki jodoh, mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang. Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki pada hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada keesokkan hari. Maka kita lebih bahagia dan gembira kerana memperolehi rezeki yang tidak dijangka.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki memiliki rumah yang besar, mungkin diberikan rezeki dalam bentuk makanan yang tak pernah putus. Maka kita lebih bahagia dan gembira dari si gelandangan.
Rezeki Allah itu luas…
Bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan bertawakal. Hanya Dia Allah yang maha adil lagi maha memberi.
Menulis ini kerana saya berasa sangat terharu dengan rezeki yang Allah kirim kan kepada saya kebelakangan ini. Sudah 3 hari saya tak masak, kerana ada saja rezeki makanan yang diberikan oleh sahabat jiran tetangga. Hari ini saja, saya mendapat rezeki sup tulang, nasi hujan panas, rendang ayam, arca dan ikan masak merah. Tanpa bayaran, semuanya dari jiran yang saling menyayangi kerana Allah..
Percayalah, kita mudahkan rezeki makhluk Allah, Allah akan mudahkan rezeki kita.